Tempat yang dikenalpasti memiliki nilai arkeologi. (mengikut kronologi kajian terdahulu)

     Jika dapat dilihat di Malaysia, terdapat banyak kawasan atau tempat yang terbukti mempunyai kepentingan apabila kajian arkeologi dijalankan di kawasan tersebut, seperti yang dilakukan oleh Kolonel James Low iaitu seorang purbawanis atau peminat barang-barang antik yang telah melaporkan beberapa penemuan barangan purba di Seberang Prai dan Kedah. 

     Laporan ini sangat signifikan dalam konteks sejarah penyelidikan arkeologi bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia Tenggara. Ini kerana penemuan tersebut telah meletakkan Malaysia sebagai negara paling awal menjalankan penyelidikan arkeologi. Perjalanan sejarah penyelidikan arkeologi semenjak 1840-an dan berterusan sehingga hari ini berjaya menghasilkan beberapa sintesis, hipotesis dan teori berkaitan dengan zaman prasejarah dan protosejarah Malaysia.

    Kegiatan penyelidikan arkeologi dijalankan oleh para pentadbir British dan golongan purbawanisme. Pertama kalinya dilakukan oleh G.W. Earl melaporkan tentang penemuan sebuah tapak timbunan kulit kerang di Seberang Prai, Pulau Pinang pada tahun 1860-an. 

     Di Perak sendiri, laporan berkaitan dengan kegiatan survei arkeologi telahpun bermula semenjak 1880 apabila Leonard Wray menyatakan bahawa terdapat satu timbunan kulit siput dan tulang di Perak tetapi tidak dinyatakan dengan tepat dan tiada kajian lanjut.

    Pada tahun 1886, Leonard Wray telah menjalankan ekskavasi arkeologi buat pertama kali di Gunung Cheroh, Perak. Dalam kajian tersebut beliau telah menemui alat-alat batu dan rangka manusia yang dikebumikan secara melentur. Dalam kajian  I.H.N. Evans bersama-sama dengan Callenfels di Gua Badak dan Gua Kerbau di Perak mereka menyatakan bahawa tujuan kajian tersebut ialah untuk melihat penyebaran kebudayaan alat-alat batu dari Indochina melalui Semenanjung Malaysia dan terus ke Sumatera. 

    Kajian seterusnya oleh Sieveking yang berpendapat bahawa tapak Gua Cha, Ulu Kelantan merupakan tapak komponen pelbagai atau multi-component site iaitu merangkumi zaman kebudayaan Hoabinhian sebagai lapisan kebudayaan yang awal kemudian diikuiti oleh lapisan berkebudayaan Neolitik oleh masyarakat yang lain. Satu perkara yang agak menarik juga terhadap suasana penyelidikan arkeologi prasejarah di Semenanjung Malaysia pada tahun-tahun 1950-an ini ialah kemunculan beberapa pandangan dan teori berkenaan dengan Zaman Logam di kawasan ini. Ini berpunca daripada penemuaan-penemuan secara tidak sengaja objek-objek logam iaitu gangsa dan besi dan rata-rata daripada pendapat itu menyatakan bahawa terdapat pemisahan antara Zaman Gangsa dan Zaman Besi yang tulen di Semenanjung Malaysia. Ternyata bahawa pandangan mereka masih terpengaruh dengan aliran pemikiran arkeologi di Barat. Tambahan pula tidak terdapat satu data yang jelas untuk menjelaskan keadaan tersebut. Antara ahli arkeologi yang memberi pandangan terhadap isu tersebut ialah W. Linehan, J. Loewenstein dan Sieveking sendiri. 

     Seterusnya, J.M. Matthewtelah menjalankan penyelidikan terhadap tapak-tapak gua-gua batu kapur di Gunung Panjang, Ipoh dan menemui lukisan gua pra-sejarah dengan menggunakan hematit. Menurut beliau lukisan-lukisan tersebut merupakan tinggalan kebudayaan masyarakat berkebudayaan Hoabinhian. 

     Selanjutnya, pada tahun 1962 Lord Medway telah melaporkan penemuan seramik-seramik China abad ke-11 dan 13 di Pulau Tioman, Pahang. Jabatan Sejarah di bawah  Universiti Malaya telah melakukan penyelidikan yang melibatkan penuntut-penuntut Ijazah Siswazah dan juga Siswazah Lanjutan, beberapa penyelidikan arkeologi prasejarah telah dijalankan oleh pelajar-pelajarnya seperti F.L. Dunn di Gua Kechil, Pahang pada tahun 1962.

    Kemudian pada tahun 1964, B.A.V. Peacock sekali lagi terlibat dalam penyelidikan dan ekskavasi arkeologi terhadap sebuah tapak Zaman Logam di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor dan di Kampung Batu Buruk, Kuala Terengganu. Hasil daripada ekskavasi penyelamatan itu, sebanyak 4 buah serpihan gendang gangsa yang berlainan telah ditemui. 

     Pada tahun 1967, F.L. Dunn bersama-sama dengan B.A.V. Peacock Gua Tapa yang terletak dalam Kompleks Gunung Senyum di Temerloh, Pahang, F.L. Dunn telah berjaya menemui satu rangka teoritikal untuk membina semula kebudayaan prasejarah dan protosejarah Semenanjung Malaysia. Ini dapat dilihat melalui tesis beliau yang berjudul Rain Forest Collecters and Traders: A Study of Source Utilization in Modern and Ancient Malaya, Data-data beliau itu disokong dengan kajian menggunakan kaedah etnoarkeologi yang juga merupakan pertama kali dilakukan di Malaysia.

   Sementara itu, Sieveking telah melakukan kajian terhadap koleksi tembikar tanah dari Bukit Tengku Lembu, Perlis dan J.C. Trevor bersama-sama D.R. Brothwell pula telah mengkaji sisa-sisa rangka manusia yang ditemui di Gua Cha, Ulu Kelantan. 

     Terdapat juga ahli arkeologi iaitu O.A. Theseira merupakan tokoh yang memainkan peranan sangat penting. Beliau yang juga merupakan ketua Unit Arkeologi Prasejarah telah melakukan lawatan terhadap tapak-tapak arkeologi di sepanjang Sungai Tembeling, Pahang pada tahun 1974. Kemudian pada tahun 1977  O.A. Theseira telah menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Bukit Karim dan Kampung Bantal di mana beliau telah menemui artifak-artifak dari kebudayaan Neolitik dan Logam seperti beliong batu, penumbuk kulit kayu, tembikar tanah dan gelang tembaga. 

    Pada tahun 1976, O.A.Theseira bersama-sama Adi Taha telah menjalankan ekskavasi penyelamatan terhadap tapak Gua Tok Bidan yang akan tenggelam akibat daripada pembinaan Empangan Tasik Kenyir. Hasilnya, mereka telah menemui sisasisa makanan daripada kulit-kulit siput sedut air tawar, tulang-tulang haiwan, serpihan tembikar tanah, alat-alat batu pebble dan juga rangka manusia yang dikebumikan dengan cara melentur (flexed burial). 

      Selain daripada itu, penyelidikan ekskavasi penyelamatan juga telah dilakukan oleh Leong Sau Heng bersama-sama dengan O.A Theseira di tapak Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor pada tahun 1977 dan 1979. Daripada penyelidikan itu mereka mendapati bahawa tapak tersebut merupakan multi-component site atau tapak komponen pelbagai bermula dari Zaman Neolitik sehinggalah kepada Zaman Logam dan akhirnya zaman Awal Sejarah. Antara artifak yang temui ialah beliong batu berasah, gelang batu, batu asah dan batu penggiling, serpihan-serpihan tembikar tanah beragam hias termasuklah tembikar tanah berkaki tiga (tripod pottery), serpihan mangkuk gangsa, wang tampang, pinggan seladon daripada Lung Chuan dan alat-alat pendayung perahu daripada kayu. Sebagai lanjutan daripada penemuan tapak Jenderam Hilir yang dijumpai, beliau telah membuat ekskavasi percubaan di Bukit Piatu pada tahun 1978 dan telah berjaya menemui beberapa serpihan tembikar tanah sahaja.

     Setelah itu, pada tahun 1978 merupakan tahun yang aktif apabila pada tahun yang sama, O.A Theseira sekali lagi menjalankan ekskavasi arkeologi di Kampung Kundang Hulu, Muar sebagai satu tindakan susulan kepada penemuan sebuah Loceng Gangsa di Kampung Pencu yang menyerupai loceng gangsa Dongson di Kelang pada tahun 1905 dahulu. Daripada penyelidikan tersebut, beliau telah menemui beberapa butir manik, serpihan tembikar tanah dan serpihan-serpihan besi berkarat. 


Comments

Popular posts from this blog