SEJARAH PENYELIDIKAN ARKEOLOGI DI DUNIA.

Sebelum menyelidiki sejarah arkeologi perlu diketahui jenis-jenis aktiviti yang dianggap sebagai disiplin arkeologi, yang memjadi asas kepada sesuatu penemuan.
     Kajian saintifik perlu dijalankan bagi membolehkan ahli arkeologi memperolehi maklumat. Terdapat pelbagai cabang dalam bidang arkeologi, antaranya termasuk cabang arkeologi angkasa lepas yang lebih tertumpu kepada kajian di luar angkasa, arkeologi maritim yang lebih tertumpu di kawasan perairan yang mempunyai kepentingan tertentu, dan arkeologi cari gali yang tertumpu di kawasan yang mempunyai struktur yang berpotensi terhadap penemuan barangan yang dikehendaki .
     Ahli arkeologi mendapatkan maklumat melalui proses cari gali.Melalui kaedah ini ketepatan usia bahan-bahan tinggalan sejarah seperti fosil, binaan daripada batu, peralatan daripada logam, tembikar, seramik, dan kulit siput dapat disahkan melalui kajian saintifik seperti pentarikhan radiokarbon. Hasil daripada kaedah arkeologi ini, ahli arkeologi dapat membuat tafsiran dan pentarikhan tentang budaya masyarakat melalui bahan tinggalan sejarah tersebut.


Terdapat peralihan zaman yang mengaplikasikan penggunaan arkeologi dalam kehidupan.

Pada peringkat awalnya dikenali sebagai zaman :

1.   Zaman Spekulasi ( seawal 800SM)
     Arkeologi telah menjadi satu disiplin ilmu pada 200 tahun yang terakhir. Walaupun ia merupakan bidang yang masih lagi baru bermula, namun prinsip-prinsipnya masih lagi banyak diperdebatkan. Secara amnya sejarah arkeologi sebenarnya telah bermula seawal 800 SM dimana terdapat individu-individu yang berminat dan suka membuat spekulasi mengenai asal manusia serta dunia klasik. Misalnya, seorang  penulis Yunani bernama Hesiod yang menulis tentang asal usul dan sejarah manusia pada 800 SM.

     Terdapat juga golongan manusia yang di gelar Purbawanisme Pra-Sejarah. Purbawan memberi maksud orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang antik manakala '-isme' bermaksud sifat dan kelakuan. Jika ditakrifkan ianya lebih merujuk kepada perlakuan terhadap orang yang mempunyai minat terhadap barangan antik dan sering mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang antik. Istilah yang lebih popular digunakan dalam bahasa Inggeris ialah antiquity ataupun antiquarianism. Pertama kali istilah itu muncul adalah pada abad ke-15 sebagai salah satu cabang sejarah Renaissance Humanism.
     Pada awalnya, kegiatan purbawanisme yang pertama telah dijalankan oleh Nabonidus (555-538 SM), raja terakhir Babylon sebelum ditakluki oleh Cyrus Agung. Beliau telah menemukan kuil Naram-Sin hingga ke lantai asas yang telah dibina 2200 tahun sebelum pemerintahannya. Pada zaman pemerintahan Julius Caesar pula, barangan artifak seperti tempayan, senjata purba dan gangsa merupakan beberapa hasil penemuan askar Rom semasa mengeledah kubur-kubur purba di tanah-tanah jajahan mereka seperti di Greece dan Itali
     Suetonis juga mencatatkan sedikit sebanyak tentang kegiatan pengumpulan barangan purba oleh Maharaja Augustus Caesar manakala Strabo mengatakan bahawa Julius Caesar telah mendirikan daerah jajahan Rom untuk askar-askarnya di Corinth lalu kekayaan yang terdapat di dalam perkuburan lama telah dijual kepada pengumpul-pengumpul Rom yang menghargai barangan Greek.
      Semasa abad ke-15, berlaku perkembangan minat untuk mengumpul harta benda secara besar-besaran bermula dari Itali dan subur berkembang di bawah pemerintahan paderi-paderi seperti Sixtus IV (1471-1484). Alexander VI pula telah memulakan usaha cari gali untuk menambahkan bilangan koleksi pengumpulannya. Ia telah menjadikan aktiviti tersebut sebagai satu budaya dalam kalangan orang berada, menteri dan orang-orang gereja dan ini menandakan Zaman Pembaharuan atau 'Dilettanti' (kegembiraan dalam bahasa Itali).

2. Zaman Arkeologi Prasejarah (1820 hingga 1920)

     Arkeologi prasejarah berkembang dengan pesat di Eropah dan Amerika Syarikat. Pada ketika ini, bidang arkeologi lebih tertumpu kepada gambaran dan rekonstruksi kehidupan masa lampau dan memandang budaya secara normatif. Ia juga diperkukuhkan dengan wujudnya banyak teori yang dapat digunakan dalam bidang tersebut. Hal ini menunjukkan arkeologi merupakan sebuah bidang yang multi-displin.
     Dari displin geologi, idea lapisan tanah dipelopori oleh James Hutton manakala Teori Uniformiti oleh Charles Lyell digunakan untuk mengkaji perkembangan kepurbakalaan manusia. Ini juga membuktikan pendapat golongan Injil pada masa itu tidak tepat kerana bagi mereka, kewujudan manusia ialah 4002 Sebelum Masihi namun mengikut kajian geologi, usia bumi jauh lebih tua daripada waktu yang dikemukakan oleh golongan Injil. Sistem Tiga Zaman yang diperkenalkan oleh Christian Jurgensen Thompsen telah memudahkan pembahagian zaman berdasarkan artifak iaitu Zaman BatuZaman Gangsa dan Zaman Besi.
     Namun begitu, Jacques Boucher de Perthes pada tahun 1841 lebih awal menganjurkan idea bahawa kepurbakalaan manusia jauh lebih awal dari 6004 tahun. Beliau juga salah seorang tokoh yang berpendapat bahawa arkeologi sejarah boleh dicartakan mengikut tempoh geologikal. 
     Dalam waktu ini juga, arkeologi lama banyak menyumbang terhadap pembangunan bidang tersebut. Antaranya ialah teknik pemahaman tulisan hieroglif daripada kajian terhadap Batu Rosetta oleh Jean-Francois Champollion, penemuan ukiran-ukiran besar Assyrian dan perpustakaan kepingan cuneiform di Kuyunjik oleh Paul Emile Botta, Austen Henry Layard dan Henry Rawlinson.

3. Zaman Arkeologi Lama (1920-1960)

     Arkeologi lama atau dikenali sebagai arkeologi tradisional merupakan satu zaman dimana lebih banyak penambahbaikan dari sudut teoritikal dan metodologi. Ekskavasi juga giat dijalankan dan penemuan-penemuan penting juga berjaya dijumpa dan direkodkan pengkajiannya, misalnya penemuan kubur Tutankhamun, perkuburan Ur di Chalees dan gua prasejarah Lascaux.
     Teknik tinjauan seperti aplikasi foto udara diperluaskan penggunaannya oleh O.G.S Crawford manakala dari segi teknik ekskavasi, ia lebih teliti dan lebih baik dari sebelumnya dalam aspek pengalian, perekodan, ilustrasi dan interpretasi yang dipopularkan oleh Mortimer Wheeler dalam usaha ekskavasi tapak-tapak di selatan England dan utara Perancis antara tahun 1934 hingga 1937.
    Penyelidikan yang lebih saintifik mula mengambil tempat dalam metodologi penyelidikan khususnya dalam projek ekskavasi di Britain dan Perancis. Lennart Von Post telah membangunkan teknik rekonstruksi tumbuh-tumbuhan purba berdasarkan kajian debunga pada tahun 1930-an. Teknik ini diperkenalkan lagi oleh Grahame Clark di Britain, termasuk pendekatan aspek ekonomi digunakan dalam usaha pemahaman komuniti masyarakat prasejarah dalam tahun 1949 hingga 1951 di tapak Star Carr, Yorkshire, utara England.
     Selepas Perang Dunia kedua, kaedah pentarikhan radiokarbon mula diperkenalkan oleh Willard Libby. Pentarikhan menggunakan karbon-14 ini banyak mengubah maklumat tentang masa lampau dan ini boleh dilihat dalam tapak zaman Gangsa Aegaen di Vinca, Belgrade yang sebelum ini dianggap sebagai tapak zaman Neolitik Akhir pada tahun 1908 hingga 1912. Kaedah ini diperakui dan diterima kesahihannya menjelang tahun 1970.

4. Zaman Arkeologi Baru/ Prosesual (1960-2000)

     Arkeologi baru ini telah diperkenalkan oleh Lewis BinfordBeliau dikenali kerana sumbanganya terhadap teori arkeologi dan kajian etnoarkeologi. Beliau berpendapat bahawa metodologi secara saintifik serta kaedah deduktif hypothetico perlu dilakukan dalam bidang arkeologi. Penekanan yang kuat terhadap generalisasi dan cara manusia beriteraksi dengan ekologi menggambarkan bahawa budaya dipengaruhi oleh adaptasi sesuatu kawasan. 
   Alfred Kidder merupakan tokoh utama dalam arkeologi Maya. Berdasarkan survey yang dijalankan pada 1915-1929, beliau bertanggungjawab membuat peta dalam ekskavasi di Pecos Ruin iaitu sebuah pualau yang sangat besar di bahagian utara New Mexico. Terdapat juga golongan  yang sangat berperanan penting dalam membantu arkeologi dalam membuat kajian seperti Max Uhle yang merupakan seorang saintis Jerman yang banyak membantu arkeologi di Amerika Selatan. Beliau melibatkan diri dalam bidang arkeologi dan etnografi. Beliau juga telah melukis stratigrafi atau lapisan kebudayaan di tapak ekskavasinya iaitu di Pachacamax, Peru.

Comments

Popular posts from this blog